Setiap kali tibanya bulan Ramadan, bazar Ramadan menjadi tempat kunjungan ramai pada bulan Ramadan bagi mendapatkan juadah berbuka. Namun begitu, bazar Ramadan juga merupakan kawasan sesak yang sempit dengan bilangan pengunjung yang ramai.
Oleh itu ibu bapa dinasihatkan untuk tidak membawa anak-anak kecil ketika mengunjungi bazar Ramadan bagi mengelakkan mereka daripada terdedah kepada jangkitan COVID-19 walaupun kita telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.
Melalui yang dipetik menerusi laporan Bernama, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata kawasan sesak yang sempit dengan orang ramai merupakan suasana yang tidak baik kepada kanak-kanak terutamanya mereka yang tidak mempunyai perlindungan vaksinasi.
“Melihat suasana hari pertama bazar Ramadan di Bagan Serai ini, kami dapati ramai pengunjung membawa anak kecil di tempat yang penuh sesak.
“Kalau tempat sempit ini sebaiknya jangan bawa anak-anak, kita tidak mahu menyambut Ramadan dalam keadaan sedih dan sibuk di hospital,” katanya.
Dr Noor Azmi berkata data terkini menunjukkan vaksinasi kanak-kanak hanya sebanyak 38 peratus manakala remaja 91.7 peratus dan dos penggalak pula 67.3 peratus.
“Ini menunjukkan vaksinasi membabitkan kanak-kanak masih di tahap yang perlahan dan kami berharap ibu bapa mendapatkan vaksinasi untuk anak-anak mereka secepat mungkin,” katanya.
Sumber: Bernama
Picture: FB Bernama
