Viral

Indah Kematiannya… Di Rumah Allah, Malam Ramadan, Sedang Solat Serta Sempat Sebut Nama Allah

Kematian adalah satu ketentuan Allah SWT. Setiap manusia pasti akan mengalami kematian. Apabila seseorang sudah tiba ajalnya, maka tidak dapat lagi diundurkan atau dipercepatkan walaupun sesaat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang ditetapkan), maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Surah al-A’raf, ayat 34)

Melalui perkongsian  pendakwah dan penulis Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, ini pengalaman yang  disaksikannya sendiri di depan mata.

KEMATIAN YANG DICEMBURUI

Sedang imam membaca surah pada rakaat pertama di solat Isyak malam ini, tiba-tiba kedengaran seorang rebah di belakang saya dengan bunyi yang agak kuat seiring suara, “Allah!”.

Usai solat, keadaan menjadi gempar bila ada ahli jemaah yang menyeru, “ada sesiapa doktor di sini… cepat-cepat.”

Beberapa orang menerpa ke tempat kejadian dan terus memberi pertolongan cemas. Saya dengan beberapa ahli jemaah di saf pertama terus berada di tempat masing-masing sambil mendoakan kebaikan buat ahli jemaah tersebut dan terus melapangkan ruang bagi proses pengudaraan yang baik.

Beliau tidak sedarkan diri. Tangan dan tubuhnya longlai sekali. Ketika doktor menekan dadanya berkali-kali untuk membantu proses bernafas, beliau terus lemah.

Gambar sekadar hiasan.

Setelah tubuhnya yang tidak berdaya diusung ke belakang, doa tahlil serta solat Tarawih diteruskan. Usai solat Tarawih dengan diikuti solat witir, pengumuman dibuat yang mengatakan ahli jemaah telah pun meninggal dunia.

Saya terpegun. Sayu. Sedih. Begitu cepat dan tiba-tiba sekali Izrail menjemputnya pulang. Dan alangkah indahnya kematiannya… di rumah Allah, pada malam Ramadan yang barakah, sedang solat, serta sempat mengucapkan nama Allah. Cemburu!

Entah mengapa pada malam ini, saya tergerak untuk solat di Masjid Nur, Jalan Seri Pagi, Bandar Saujana Utama. Dan malam ini, isteri pula agak sihat untuk ditinggalkan seorang buat saya berjemaah di masjid.

Tentunya insiden ini bukan kebetulan. Tetapi punya tujuan, buat diri saya dan sesiapa sahaja yang berada di masjid itu, di jauh dan dekat. Cukuplah mati itu sebagai peringatan. Mengingati mati ialah zikir yang senyap….

Ketika melihat sianak duduk menangis di samping jenazah, seorang wanita (mungkin isteri) yang terburu-buru datang sambil mengalirkan air mata…saya sayu. Kami sendu.

Dan kami mendoakan Allahyarham akan tersenyum meninggalkan dunia yang penuh fitnah ini menuju alam baqa yang penuh saadah. Insya-Allah. Amin.

Gambar di bawah, saya ambil hanya beberapa ketika sebelum peristiwa itu. Entah kenapa, hati saya tergerak untuk mengabadikan sesuatu.

Tanpa saya jangka, malaikat Izrail sudahpun berada di muka pintu untuk mencabut nyawa sahabat tersebut…

Innalilahi wa innailaihi rajiun. Semoga Allah mengasehani dan mengampuni rohnya. Amin.

Kematiannya yang indah…kita? Entah di mana? Entah bila? Bagaimana? Terus rahsia.
Tetapi pasti tiba!

(Untuk makluman beberapa ahli jemaah yang solat di sebelahnya telah terlebih dahulu membantunya dan memberhentikan solat mereka sebaik Allahyarham jatuh).

Sumber kredit: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikal Popular

To Top