Ramai anak-anak muda kita hari ini kurang berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Hal ini berlaku kerana bagi mereka segulung ijazah tidak mampu menjamin mereka mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.
Anak-anak muda hari ini lebih memilih untuk menceburi pekerjaan yang mendatangkan wang dengan lebih cepat dan lumayan.
Berikut perkongsian Nik Roskiman yang berbicara dan memberikan pandangannya tentang isu viral ini.
Saya diberitahu ada kajian menunjukkan minat menuntut ilmu sudah menurun dalam kalangan masyarakat kita hari ini kerana melihat ramainya lepasan universiti pun masih menganggur dan tidak mendapat pekerjaan, atau mendapat pekerjaan yang tidak setimpal dengan kelulusan mereka.
Hilang motivasi untuk belajar ini berlaku apabila menuntut ilmu itu bermatlamatkan untuk mendapat pekerjaan yang baik. Dari kecil kita didodoikan, belajar rajin-rajin nanti masuk universiti lepas tu dapat kerja gaji besar. Realiti hari ini tidak sebegitu.
Sebaliknya pula berapa ramai yang bukan lulusan universiti pun tetapi hidup kelihatan “senang lenang” kerana menceburi bidang perniagaan misalnya, menjadi “founder” produk-produk itu dan ini seperti produk kosmetik, tudung dan lain-lain, walaupun tidak kurang juga yang gagal dalam perniagaan.
Ada yang menjadi “influencer” di media sosial juga mendapat bayaran tinggi. Bekerja sebagai rider pun saya difahamkan juga mampu menjana pendapatan yang lumayan.
Alhamdulillah rezeki mereka berkat usaha gigih mereka. Namun, kalaulah “kesenangan hidup” atau “kekayaan” itu menjadi matlamat menuntut ilmu, maka ia ternyata tidak boleh dipakai lagi.
Matlamat menuntut ilmu sebegitu sebenarnya tersasar daripada matlamat yang diajarkan oleh Islam.Menuntut ilmu dalam Islam bukan bermatlamatkan mendapat pekerjaan yang baik, tetapi untuk membina diri menjadi insan baik.
Insan yang kenal hakikat dirinya, Tuhannya, matlamat hidupnya di dunia ini, dan ke mana dia akan pergi selepas kehidupan di dunia yang sementara ini, selepas kematiannya iaitu nasibnya di akhirat.
Sayangnya, pendidikan hari ini tidak menjurus ke arah itu, sebaliknya hanya menghasilkan graduan yang kompeten, mahir, sebagai tenaga kerja dalam industri tertentu tetapi tandus nilai akhlak dan jauh daripada menjadi insan baik.
Segulung ijazah tidak memberi nilai apa-apa kerana hakikat pendidikan dalam Islam bukan untuk memperoleh ijazah, tetapi untuk membentuk diri insan itu sendiri. Produk pendidikan dalam Islam ialah manusia itu sendiri, iaitu menjadi insan baik, bukannya sijil!
Moga-moga anak-anak kita tidak terkeliru atau lemah semangat dalam menuntut ilmu, memandangkan di sekeliling mereka ternampak semacam fatamorgana yang memukau mata zahir.
Sumber kredit: Nik Roskiman
