Mi Goreng Basah yang sedap memang payah nak dapat kalau makan di luar. Selalunya bila ‘order’ dapat yang bukan ikut cita rasa yang kita mahu. Ada sahaja yang tidak kena dengan tekak.
Nak makan sedap, kenalah rajin masak sendiri sebab kita boleh letak ramuan yang kita suka selain boleh masak ikut cita rasa kita. Konsep masak yang sedap bukan sekadar campak-campak sahaja bahan dalam kuali.
Mari kita cuba resipi Mi Goreng Basah Melekit-lekit seperti yang dikongsikan oleh Hashimah ini. Mesti sedap!
RESIPI MI GORENG BASAH MELEKIT-LEKIT
BAHAN-BAHAN:
1 biji bawang merah besar
3 biji bawang putih
2 sudu makan cili kisar (boleh lebihkan)
5 sudu makan sos cili
2 sudu makan sos tiram
4 sudu makan kicap manis
1 sudu makan tepung jagung (bancuh dengan air setengah gelas)
Tomato setengah biji potong dadu
Optional bahan (terpulang dengan bahan apa yang ada)
Udang
1 batang sosej
4 biji fishball
1 batang fishcake
2 biji tauhu kering
1/2 biji tomato
1 biji cili merah (dihiris)
1/2 batang lobak merah (dihiris memanjang)
CARA MEMBUAT:
1. Tumis bawang yang sudah ditumbuk. Masukkan cili kering dan tumis hingga agak pekat warnanya. Masukkan tomato, tumis hingga layu dan hancur.
2. Masukkan semua sos, gaul-gaul, dan masukkan semua bahan sampingan kecuali mi, sayur berdaun dan apa-apa bumbu yang cepat layu.
3. Masukkan 2 gelas air, dan bancuhan tepung jagung tadi. Perasakan gula garam. Siap untuk kuah.
4. Cara untuk menghidang. Jika sudah bersedia untuk makan barulah cedok kuah dalam kuali dan masukkan mi dan sayuran hijau. Panaskan, hingga sebati mi dengan kuah. Sedia untuk dihidang.
TIP:
* untuk semua jenis mi, tomato ditumis dahulu, rasanya berbeza dengan sekadar digaul mesra bersama mi dan sayuran lain.
* sebelum tutup api, perah sebiji/setengah biji limau nipis dalam sekuali mi. Rasa mi akan lagi sedap dan tidak rasa masam pun.
Sumber kredit: Hashimah
