Pulut Inti memang antara kuih lejen yang masih mendapat sambutan hingga ke hari ini. Walaupun kuih ini agak sukar didapati namun penggemarnya tetap ada.
Kalau nak makan Pulut Inti yang sedap dan kena dengan tekak, eloklah kita masak sendiri sahaja. Bukan apa, kalau beli nanti, ada sahaja yang tidak cukup rasa.
Jangan bimbang. Tak susah mana pun nak buat Pulut Inti. Jom kita cuba buat Pulut Inti seperti yang dikongsikan oleh Shidah Asmuni ini.
RESIPI PULUT INTI
BAHAN-BAHAN:
BAHAN UNTUK INTI:
1 biji kelapa parut muda
1/2 inci gula melaka
1/2 cawan air
3 sudu gula perang
Sedikit garam
1 sudu tepung gandum
3 helai daun pandan
CARA MEMBUAT:
1. Didihkan air kemudian masukkan gula melaka.Biarkan larut.
2. Masukkan gula perang dan daun pandan. Apabila sudah mendidih dan agak pekat, masukkan kelapa parut tadi. Gaulkan biar rata.
3. Kemudian masukkan tepung gandum dan garam. Kacaulah hingga kering dan masak. Ketepikan.
BAHAN UNTUK PULUT:
1 cawan beras pulut (direndam 2 jam kemudian toskan basuh bersih)
1 1/4 santan
Sedikit garam
Sedikit minyak masak
Sedikit gula
Daun pandan
Daun pisang (layur dan potong 6 ” lebar dan 8″ panjang)
CARA MEMBUAT:
1. Didihkan air kukusan dahulu. Campur semua bahan kemudian kukus selama 20 minit.
2. Buka kukusan dan gembur-gemburkan pulut tadi dan sambung lagi kukus hingga masak.
3. Apabila pulut sudah masak, ambil daun pisang yang sudah siap dipotong. Sendukkan pulut yang sudah siap dikukus tadi di atas daun pisang dan diikuti dengan sesudu inti.
4. Kemaskan lipatan daun pisang seperti melipat nasi lemak. Buat sehingga habis. Bolehlah dihidangkan.
Sumber kredit: Shidah Asmuni
