Anak

Rezeki Ayah Dan Anak, Adakah Saling Berkait Antara Satu Sama Lain

Allah SWT menjanjikan mahu memberi rezeki yang tidak disangka bagi orang yang bertakwa.Dalam tafsir al-Quran al-Sya’rawi, rezeki ialah apa yang memberi manfaat bagi kita.

Luasnya rahmat Allah SWT kepada makhluk-Nya sehingga setiap kelahiran dan setiap ciptaan lahir bersama jaminan rezeki agar kita tidak perlu terlalu bimbang soal rezeki.

Menerusi firman Allah SWT bermaksud: “Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jugalah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud: ayat 6).

REZEKI AYAH DAN ANAK SALING BERKAIT

1. Perhatikan dua ayat ini. Dalam Surah al-An’am, Allah menyebutkan tentang rezeki ayah dahulu sebelum dijelaskan mengenai rezeki anak iaitu Allah-lah yang akan mengurniakan rezeki kepada ayah dan anak mereka. Namun, dalam Surah al-Isra, Allah menyebutkan perkataan anak dahulu sebelum rezeki ayah iaitu Dia-lah yang akan memberikan rezeki kepada anak dan ayah.

2. Ketika menghuraikan ayat ini, Sheikh al-Tantawi menjelaskan bahawa kedua-dua ayat ini memberikan gambaran kepada dua konteks yang berbeza.

Kata beliau:

وليس إحداهما تكرارا للأخرى. وإنما كل واحدة منهما تعالج حالة معينة

“Dan pengulangan ayat ini bukanlah pengulangan yang sama tetapi setiap ayat ini memberikan solusi kepada situasi yang spesifik.”

3. Dalam Surah al-An’am, Allah menyebutkan rezeki ayah dahulu kerana menyantuni situasi para ayah yang sedang berada dalam kondisi kemiskinan. Lalu mereka bertekad untuk membunuh anak-anak perempuan mereka kerana kemiskinan yang mencengkam hidup mereka. Lalu Allah berikan jaminan bahawa rezeki para ayah itu dipelihara oleh Allah.

4. Manakala dalam Surah al-Isra pula, dialog itu seolah ditujukan kepada ayah yang tidak miskin, tetapi takut menjadi miskin disebabkan anak-anak mereka. Lalu Allah memberikan jaminan bahawa rezeki anak turut dipelihara oleh Allah.

5. Huraian mengenai jaminan Allah terhadap rezeki ini diolah dengan cantik oleh al-Imam al-Razi yang menggambarkan bahawa keyakinan orang yang beriman tidak pernah luntur terhadap rezeki mereka. Tindakan membunuh anak yang dilakukan oleh masyarakat jahiliah seakan-akan mereka berburuk sangka dengan Allah.

 

Kata al-Razi:

إن قتل الأولاد إن كان لخوف الفقر ، فهو سوء ظن بالله

“Sesungguhnya tindakan membunuh anak kerana takut menjadi miskin itu adalah (terhasil dari) sikap buruk sangka terhadap Allah.”

6. Lebih menarik lagi, Sheikh al-Ma’sarawi menjelaskan bahawa kedua-dua ayat ini seakan-akan menunjukkan rezeki ayah dan anak saling berkait. Adakalanya ada rezeki ayah di dalam rezeki anak dan ada rezeki anak di dalam duit ayah. Semoga Allah membimbing kita.

Sumber kredit: Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikal Popular

To Top