Keluarga

Sebelum Seorang Isteri Nak Qadha’ Puasa, Perlukah Minta Izin Suami Terlebih Dahulu

Mesti ramai kaum wanita sedang sibuk menggantikan puasa yang ditinggalkan kerana uzur ketika Ramadan tahun lalu. Ramadan bakal menjelang tidak berapa lama lagi. Maka ‘hutang puasa’ yang masih belum dilangsai perlu ‘dibayar’ dengan segera.

Bagi wanita bujang tiada masalah untuk menggantikan puasa tetapi bagaimana pula bagi golongan isteri? Timbul persoalan, perlukah seorang isteri itu mendapatkan keizinan daripada pihak suami sebelum mula menggantikan puasa. Berikut soalan dan jawapan penuh yang seperti yang dipetik daripada Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

SOALAN

Saya ingin bertanya berkenaan dengan puasa qadha’ Ramadhan. Adakah perlu untuk saya meminta izin suami saya atau tidak.

JAWAPAN

Hukum menggantikan puasa Ramadan bagi seorang isteri adalah wajib untuk meminta keizinan suaminya, sekiranya tempoh untuk menggantikannya masih panjang dan suaminya berada di rumah. Ini kerana kewajipan seorang isteri adalah memenuhi hak suaminya.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, bahawa pada asalnya seorang isteri itu wajib meminta keizinan suaminya untuk berpuasa sunat. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Hammam bin Munabbih R.A, sabda Nabi SAW:

لاَ تَصُمِ الْمَرْأَةُ وَبَعْلُهَا شَاهِدٌ إِلاَّ بِإِذْنِه

Maksudnya: Tidak dibenarkan berpuasa bagi seorang wanita (isteri) dan suaminya ada di sisinya melainkan dengan keizinannya. Riwayat Muslim (1026)

Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis di atas menyebut:

هَذَا مَحْمُولٌ عَلَى صَوْمِ التَّطَوُّعِ وَالْمَنْدُوبِ الَّذِي لَيْسَ لَهُ زَمَنٌ مُعَيَّنٌ وَهَذَا النَّهْيُ لِلتَّحْرِيمِ صَرَّحَ بِهِ أَصْحَابُنَا

Maksudnya: larangan ini bermaksud ke atas puasa sunat (yang memiliki waktu tertentu seperti puasa hari arafah) dan puasa yang disunatkan yang tidak memiliki waktu tertentu, dan larangan ini merupakan larangan yang menunjukkan pengharamannya sebagaimana yang dijelaskan oleh ashab al-Syafi’eyyah
(Lihat Syarh al-Nawawi ala Muslim, 7/115)

Selain itu, bagi menjelaskan berkenaan dengan puasa qadha’ Ramadan para ulama menerangkan bahawa tidak dibenarkan bagi sesorang isteri untuk menggantikan puasa Ramadan tanpa keizinan suami sekiranya waktu untuk menggantikannya masih mempunyai tempoh yang panjang.

Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haithami di dalam kitabnya:

وَيَحْرُمُ عَلَى الزَّوْجَةِ أَنْ تَصُومَ تَطَوُّعًا أَوْ قَضَاءً مُوَسَّعًا وَزَوْجُهَا حَاضِرٌ إلَّا بِإِذْنِهِ أَوْ عَلِمَ رِضَاهُ

Maksudnya: Dan diharamkan ke atas seorang isteri untuk berpuasa sunat atau puasa qadha’ sekiranya tempoh menggantikannya masih berpanjangan dan suaminya datang kepadanya melainkan dengan keizinan suaminya atau dia mengetahui suami meredhainya berpuasa.

(Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/461)

Imam al-Syirwani menyebut di dalam hasyiahnya bahawa sekiranya seorang isteri itu berpuasa tanpa keizinan suaminya maka sah puasanya akan tetapi perbuatannya itu haram dan berdosa. Walau bagaimanapun sekiranya suaminya tidak berada di tempat tinggalnya maka diharuskan baginya untuk berpuasa.

(Lihat Hasyiah al-Syirwani ala Tuhfah al-Muhtaj, 3/461)

Justeru, berbalik kepada persoalan dan dalil yang diberikan dapat kami simpulkan bahawa seseorang isteri wajib meminta izin suaminya apabila hendak melakukan puasa ganti atau puasa sunat sekiranya suami berada di rumah.

Ini kerana wajib bagi seorang isteri untuk memenuhi hak bagi suaminya. Namun sekiranya suaminya tidak ada di rumah, maka ia boleh berpuasa qadha’ atau sunat. Bahkan sebaiknya meminta keizinan suaminya bagi menunjukkan rasa hormat ke atasnya. Wallahua`lam.

Sumber kredit: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikal Popular

To Top